Parti Politik Gila Jadikan Negara Gila

oleh Lutfi Hakim

Parti politik lubuk korupsi dan kroni, antara perkara yang sering orang sebut. Pada masa yang sama, parti-parti ini merupakan ruang penting untuk pendemokrasian di dalam sistem kita, seperti yang akan diterangkan.

Kita sekarang ada pilihanraya untuk pilih wakil rakyat dan ahli dewan undangan negeri, tetapi kita tidak pilih PM atau pun ahli majlis tempatan. Ini bentuk sistem kita waktu ini.
Maka siapa pihak yang melantik jawatan tertinggi dan tempatan ini? Jawapan mudahnya ialah parti politik yang paling berpengaruh, sama ada di tahap lokal ataupun federal.

Menariknya, pengaruh di Malaysia tidak semestinya bergantung pada saiz atau jumlah kerusi parti, sentimen orang ramai juga main peranan walaupun susah dicerap. Dr Mahathir misalnya PM walaupun parti beliau bukan yang paling besar di dalam PH.
Tetapi dalam suasana ini sekalipun, persetujuan ini tidak akan wujud sekiranya parti politik yang terlibat tidak bersetuju untuk bertolak-ansur di dalam hal ini.

Di situ sahaja sudah nampak apa kuasa yang ada pada parti-parti ini.Selain melantik penjawat-penjawat mereka (dan secara tidak langsung pemimpin negeri dan negara), dasar-dasar pemerintahan juga boleh dipengaruhi oleh debat yang berlaku di dalam parti.

Isu-isu hak-hak minoriti, pembangunan melampau, dan politik identiti boleh diamplifikasi apabila ia disuarakan oleh ahli-ahli parti kepada pemimpin mereka, yang harus mencari balasan yang sesuai kepada tuntutan-tuntutan tersebut.

Mereka tidak boleh endahkan sahaja suara akar-umbi kerana ia mungkin mencabar kedudukan mereka di dalam pemilihan yang seterusnya. Politik di dalam parti sangat mempengaruhi arah tuju dan prioriti mereka.

Kegagalan untuk mendengar suara akar-umbi (yang sentiasa berubah-ubah) boleh membawa kepada penggulingan pemimpin parti secara besar-besaran. Ini senario yang sudah berkali-kali berlaku di dalam lipatan sejarah politik kita.

Maka soalannya siapakah yang menjadi akar-umbi parti ini? Sudah tentulah ia merupakan mereka yang menyertai parti tersebut dan aktif di dalamnya. Bukannya mereka yang rajin memberi komentar ataupun masyarakat secara am.

Lebih-lebih lagi jika parti politik hanya menarik perhatian mereka yang sangat ideologikal berbanding orang yang pragmatik atau rasiobal, maka nada wacana di dalam parti akan mirip itu.

Semakin keras nada wacana politik parti, semakin ia menjauh dari minat kalangan orang yang lebih moderat pandangan mereka. Tetapi kerana golongan kedua kurangkan penglibatan mereka, maka pengaruh suara mereka menjadi lebih kecil.

Itulah ironi politik kepartian. Kewarasan tidak semestinya dihargai tetapi api-api sentimen tidak pernah akan padam.

Penglibatan dari semua lapisan masyarakat di dalam parti politik, dan bukan sahaja mereka yang bersikap ideologis dapat mengemudi arah tuju wacana umum supaya lebih merangkum dan progresif.

Sistem kita harus berguna untuk semua

oleh Lutfi Hakim

Dalam mana-mana masyarakat pasti ada kepelbagaian pendapat. Ada yang bersikap lebih terbuka, ada yang bersikap lebih berjaga-jaga, ada juga yang ikut sahaja tiupan angin semasa, dan lain-lain kelompok lagi.

Sistem-sistem pentadbiran yang kita warisi di dalam negara kita, dan juga yang memang sedia ada wujud, merupakan usaha-usaha untuk mengurus perbezaan pendapat yang ada, supaya pertembungan dan pertelingkahan besar dapat dielakkan.

Baik dewan perwakilan tertinggi mahupun JKKK, pemilihan ke jawatan-jawatan ini bukanlah untuk memerintah secara semberono mengejar agenda peribadi tetapi untuk mendengar, mencerna, dan memutuskan untuk keputusan sebaiknya.

Masyarakat secara keseluruhan perlu faham tujuan adanya proses-proses dan institusi ini supaya tujuan kewujudan mereka dapat dicapai dengan baik, termasuklah mengekalkan keamanan.

Ia tidak seharusnya disuruh menjadi medan zero-sum di mana golongan yang menang mengendahkan semua pandangan yang bertentangan, dan bertindak mengikut kata penyokong-penyokong.

Maklumlah, satu negara itu bukan sekadar sekelompok, selantang dan sebesar mana pun mereka.

Kehadiran golongan-golongan yang lain, termasuklah mereka yang berpegang kepada pandangan yang paling terkebelakang tidak boleh tidak mesti mendapat perhatian. Bukan hanya kepada ujaran mereka, tetapi juga kepada konteks budaya, sejarah, politik yang melahirkan pandangan-pandangan tersebut.

Maka, sistem politik negara mesti terus mendapat keyakinan seluruh lapisan masyarakat, dan tidak dilihat sebagai alat untuk menyondol kehendak majoriti pemilih semata-mata.

Ruang-ruang untuk berpartisipasi secara tulen dari tahap lokal hendaklah dipelihara, dan jika kurang ada, mestilah dicipta supaya orang tidak culas mengikut serta.

Debat yang akan terhasil dan topik-topik yang dibangkitkan barangkali tidak menepati citarasa golongan yang sudah menerima ‘pencerahan’, tetapi ia akan lebih mirip perbincangan-perbincangan yang mengambil tempat di kedai-kedai kopi kampung, dan pertemuan-pertemuan keluarga.

Paradigma reformasi negara harus elakkan dari melaksanakan perubahan semata-mata untuk perubahan, umpama keretapi ekspres yang terus ke stesen akhir tanpa henti-henti.

Sebaliknya jadilah bas yang prihatin kepada destinasi akhir penumpang. Ia tak semestinya menghantar terus ke tempat tujuan mereka, tetapi di dalam perjalanan, ia boleh turunkan mereka di hentian di dalam laluan yang menyenangkan mereka.