Sistem kita harus berguna untuk semua

oleh Lutfi Hakim

Dalam mana-mana masyarakat pasti ada kepelbagaian pendapat. Ada yang bersikap lebih terbuka, ada yang bersikap lebih berjaga-jaga, ada juga yang ikut sahaja tiupan angin semasa, dan lain-lain kelompok lagi.

Sistem-sistem pentadbiran yang kita warisi di dalam negara kita, dan juga yang memang sedia ada wujud, merupakan usaha-usaha untuk mengurus perbezaan pendapat yang ada, supaya pertembungan dan pertelingkahan besar dapat dielakkan.

Baik dewan perwakilan tertinggi mahupun JKKK, pemilihan ke jawatan-jawatan ini bukanlah untuk memerintah secara semberono mengejar agenda peribadi tetapi untuk mendengar, mencerna, dan memutuskan untuk keputusan sebaiknya.

Masyarakat secara keseluruhan perlu faham tujuan adanya proses-proses dan institusi ini supaya tujuan kewujudan mereka dapat dicapai dengan baik, termasuklah mengekalkan keamanan.

Ia tidak seharusnya disuruh menjadi medan zero-sum di mana golongan yang menang mengendahkan semua pandangan yang bertentangan, dan bertindak mengikut kata penyokong-penyokong.

Maklumlah, satu negara itu bukan sekadar sekelompok, selantang dan sebesar mana pun mereka.

Kehadiran golongan-golongan yang lain, termasuklah mereka yang berpegang kepada pandangan yang paling terkebelakang tidak boleh tidak mesti mendapat perhatian. Bukan hanya kepada ujaran mereka, tetapi juga kepada konteks budaya, sejarah, politik yang melahirkan pandangan-pandangan tersebut.

Maka, sistem politik negara mesti terus mendapat keyakinan seluruh lapisan masyarakat, dan tidak dilihat sebagai alat untuk menyondol kehendak majoriti pemilih semata-mata.

Ruang-ruang untuk berpartisipasi secara tulen dari tahap lokal hendaklah dipelihara, dan jika kurang ada, mestilah dicipta supaya orang tidak culas mengikut serta.

Debat yang akan terhasil dan topik-topik yang dibangkitkan barangkali tidak menepati citarasa golongan yang sudah menerima ‘pencerahan’, tetapi ia akan lebih mirip perbincangan-perbincangan yang mengambil tempat di kedai-kedai kopi kampung, dan pertemuan-pertemuan keluarga.

Paradigma reformasi negara harus elakkan dari melaksanakan perubahan semata-mata untuk perubahan, umpama keretapi ekspres yang terus ke stesen akhir tanpa henti-henti.

Sebaliknya jadilah bas yang prihatin kepada destinasi akhir penumpang. Ia tak semestinya menghantar terus ke tempat tujuan mereka, tetapi di dalam perjalanan, ia boleh turunkan mereka di hentian di dalam laluan yang menyenangkan mereka.

Media wajib merdeka

oleh Lutfi Hakim

Berdekad lamanya, RTM dan Bernama dilihat sebagai jurucakap pemerintah. Institusi ini menyampaikan mesej-mesej dan propaganda dari Putrajaya secara terus, tanpa dipersoalkan. Malah boleh dikatakan, mereka dan media-media lain tidak ada pilihan dalam hal ini, kerana itulah cara pemerintah mengendalikan organisasi media yang wujud di dalam negara. Kalau ingkar akan dikenakan tindakan.

Sudah tentunya, kedua-dua organisasi ini merupakan badan kerajaan, dan pekerja-pekerja mereka merupakan kakitangan kerajaan yang gaji mereka dibayar oleh hasil dari cukai yang dikutip. Walaubagaimanapun, ini tidak bermaksud organisasi ini hanya perlu menjadi jurucakap kebijaksanaan pemerintah, malah sebagaimana kita menyaksikan kebebasan SPRM dan polis hari ini untuk menjalankan penyiasatan, sepatutnya begitu jualah RTM dan Bernama.

Kita boleh lihat dari model penyiaran didanai kerajaan (public-funded broadcasting) seperti BBC di UK, atau ABC di Australia, malah kalau mahu lebih radikal lagi boleh lihat kepada contoh-contoh di EU, seperti di Jerman dan Belanda. Secara mudahnya, saluran-saluran ini bukan sahaja melaporkan berita seperti yang diujarkan menteri-menteri dan pegawai-pegawai, tetapi juga harus memastikan sudut pandang lawan atau berbeza dilaporkan sekali. Ini bukanlah pilihan, tetapi ia merupakan polisi asas badan-badan ini, untuk memastikan kepelbagaian pandangan dan pegangan di dalam masyarakat dapat dicerap. Ruang media, khususnya media milik awam, tidak sepatutnya dimonopoli hanya satu pihak.

Bukankah ini juga tanggungjawab dan mampu dilakukan oleh media-media swasta? Ya, sudah tentu. Cuma sebagai media swasta yang dimiliki pihak persendirian, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengelakkan mereka dari memberatkan satu sudut pandang pilihan. Sementara itu, media milik kerajaan boleh dipantau rakyat, sama ada melalui wakil-wakil mereka di parlimen, atau pun melalui penubuhan badan pemantau media bebas yang menerima laporan dari orang awam.

Untuk memenuhi mandat mempelbagaikan pandangan, organisasi-organisasi ini juga berpeluang untuk mengumpul berita dan bahan dari komuniti-komuniti minoriti di Malaysia. Ini sedikit sebanyak sudah pun wujud, tetapi boleh dibawa ke arus perdana supaya suara-suara dari komuniti marginal didengar khalayak yang lebih besar. Media swasta yang perlu pastikan ada pulangan dari hasil siaran mereka, kurang berpeluang untuk menumpukan usaha dan tenaga ke dalam ruang ini atas sebab komersial. Justeru, media kerajaan perlulah melaksanakan tanggungjawab tersebut. Media kita harus iltizam dalam menggambarkan kepelbagaian etnik, agama, dan budaya, dan tidak hanya bersifat mono-budaya.

Aspek ini juga penting kerana kita perlu memperbaiki kerosakan akibat fahaman ketuanan yang dibiarkan berleluasa selama ini. Jika sebelum ini, agensi-agensi kerajaan sendiri yang menyebar fahaman ini dan menyemai rasa kebencian, maka hari ini, media harus menanam semangat toleransi dan keterbukaan di dalam masyarakat.