KL, Spekulasi Ini Membunuh Mu

Kita tidak boleh nafikan yang sebahagian besar penduduk Malaysia idamkan rumah sendiri. Ini tidak menghairankan kerana tempat kediaman itu antara perkara yang paling penting dalam membina hidup yang stabil. Setelah bekerja sepanjang hidup dan membayar hutang selama berdekad, rumah yang terletak di bawah nama sendiri itu akan mampu menjadi bumbung tempat mencari teduh untuk seisi keluarga.

Hari ini impian ini sesuatu yang semakin sukar dicapai. Baik tua atau muda, sebahagian besar warga Malaysia hari ini mengalami masalah untuk membeli rumah mereka sendiri kesan dari harga hartanah yang melonjak-lonjak naik. Dalam masa beberapa tahun yang lalu sahaja, harga rumah secara purata naik sebanyak hampir 9% setahun. Kita sendiri tahulah betapa tingginya peningkatan itu berbanding gaji pekerja hari ni.

Menurut statistik dari pihak berkuasa sendiri, harga rumah di Malaysia hari ini berada di paras yang mahal, di mana harga rumah median (50% dari rumah yang dijual) itu bersamaan dengan empat atau lebih jumlah setahun gaji median isi rumah. Sebagai perbandingan, rumah itu dianggap mampu milik sekiranya harganya 3 kali gaji setahun. Kalau di Malaysia, kadar harga mampu milik itu dianggarkan sebanyak RM 242,000.  Sebaliknya kita lihat harga rumah baru di kawasan lembah Kelang hari ini kebanyakannya sekitar RM 500,000 ke atas. Jangankan nak beli, duit muka pun susah nak dicari.

Antara faktor yang membuat harga rumah ini menjadi begitu mahal ialah aktiviti spekulasi hartanah. Kita mungkin menggambarkan spekulasi itu sebagai aktiviti membeli rumah kemudian menjualnya serta-merta untuk mendapat keuntungan, tetapi bukan itu sahaja. Perbuatan membolot hartanah sebagai aset pelaburan (dan bukan untuk diduduki) dan pembelian secara pukal juga antara aktiviti spekulasi. Kesan tiap-tiap aktiviti ini ialah ia mengurangkan stok perumahan yang boleh dihuni, sama ada oleh penyewa atau pembeli, dan melonjakkan harga hartanah di pasaran.

Maka kesannya kita boleh lihat di hampir tiap-tiap kawasan bandar di Malaysia. Bangunan demi bangunan tersergam sunyi, tidak berpenghuni. Sedangkan orang ramai ditolak untuk tinggal semakin jauh di luar dari kawasan kerja mereka di pusat bandar. Ini sangat memberikan kesan negatif kepada kualiti hidup warga kota, dan juga kepada kota itu sendiri.

Dari segi zahirnya, siapa yang mampu beli rumah, maka belilah dan dia ada hak mutlak untuk gunakan ikut suka. Pembeli tersebut mempunya hak pemilikan eksklusif seperti yang dibenarkan oleh undang-undang.

Tetapi adakah bentuk pemilikan seperti ini benar-benar adil sekiranya ia hanya bersikap mencari keuntungan, meskipun ia memberi kesan negatif kepada masyarakat? Apakah hak pembeli hartanah, terutamanya yang membeli untuk tujuan spekulasi, menidakkan hak orang ramai yang lain seperti hak kediaman, dan hak kepada bandar? Mungkin sudah tiba masa kita menimbang semula aturan manfaat individu dan masyarakat supaya kita dapat menghasilkan kawasan bandar yang lebih adil dan saksama.

Semua perlu bantu bina seni

oleh Lutfi Hakim

Dah tiba masa untuk kita buka ruang dan beri sokongan kepada karya-karya budaya secara lebih meluas, dan biarkan identiti Malaysia itu terhasil secara organik. Ini bermaksud kita tidak cuba tetapkan polisi dan syarat-syarat dari atas, malah kita hentikan amalan itu. Sebaliknya warga terbanyak harus mula memberikan penghargaan dan dana untuk bangunkan budaya kita, di mana pentadbir budaya memainkan peranan untuk melincirkan proses tersebut.

Namun orang kita sendiri harus beri peluang kepada karya-karya budaya tempatan dan buka minda mereka. Takkanlah di seluruh negara kita ini yang berjuta populasinya, yang berbilang kaum, budaya, dan agama, tidak mampu menghasilkan sesuatu yang bagus? Bukan sahaja untuk tontonan tempatan tetapi juga ke pentas antarabangsa. Pada tahap permulaan para penggiat seni kita hendaklah diberi ruang bertatih dahulu dan dibenarkan dan dibantu berkarya, dan tidak dikecam serta-merta. Mana-mana industri budaya yang maju hari ini pada ada awalnya hasilkan karya yang biasa-biasa juga. Biasa-biasalah yang akan mewujudkan suasana yang beri peluang untuk karyawan mencipta sesuatu yang hebat. Ini sesuatu yang masyarakat kita harus sedari, semuanya harus bermula dengan langkah pertama.

Keterbukaan pula ramuan wajib yang tidak boleh dielakkan. Jika halatuju budaya diarah dari atas, maka kita akan dapati yang terhasil hanya seni-jadian yang bersifat propaganda. Pada masa yang sama, kita tidak boleh biarkan pasaran menetukan seratus-peratus konten untuk dijamah. Media komersil pada kebiasannya akan cuma menghasilkan apa yang sudah tentu mampu terjual, selapuk mana pun formula yang digunakan. Mereka mencari duit dengan cara itu, maka kita biarkanlah, tetapi masyarakat juga harus ada pilihan yang lebih segar. Sekali lagi, ini ruang untuk dana dari masyarakat bangunkan sendiri budaya tempatan yang lebih tulen, selain mendapat peruntukan dari pemerintah yang tidak bersifat mengongkong.

Komuniti seni di Malaysia sendiri sudah banyak kali mengusahakan ruang-ruang dan inisiatif yang mengalu-alukan sokongan dari orang awam, tetapi kebanyakan kalinya sambutannya kurang memberansangkan. Apakah kerana masyarakat kita masih bersikap konsumeris di mana karya seni dan budaya itu dilihat bersifat komoditi yang boleh dibeli bagaikan di pasar raya? Jika ya, adakan ini kerana kita belum benar-benar menghargai rona masyarakat kita selama ini? Ini sudah tentu perlukan kajian yang lebih mendalam, yang mungkin memerlukan kepada pembaikan sistem pendidikan kita, di dalam dan luar kelas. Pada masa yang sama seni juga harus keluar dari ceruk-ceruk elit dan menjadi sebahagian dari pengalaman hidup bermasyarakat. Walaupun usaha ini memakan belanja dari dana yang sememangnya kecil, ia penting untuk menanam rasa suka masyarakat kita kepada seni.

Tidak ada sebab menapa kita tidak boleh ada produk-produk kebudayaan yang laku di pentas dunia. Bukan sahaja secebis-secebis karya-karya yang mendapat perhatian di festival-festival ‘art berat’ atau golongan pengkaji tetapi juga hasil tangan yang boleh dihayati oleh warga dunia secara umum. Ia memerlukan masyarakat yang bersikap terbuka dan membina, dan terutama sekali menghargai kehadiran seni di dalam hidup mereka.