Sistem kita harus berguna untuk semua

oleh Lutfi Hakim

Dalam mana-mana masyarakat pasti ada kepelbagaian pendapat. Ada yang bersikap lebih terbuka, ada yang bersikap lebih berjaga-jaga, ada juga yang ikut sahaja tiupan angin semasa, dan lain-lain kelompok lagi.

Sistem-sistem pentadbiran yang kita warisi di dalam negara kita, dan juga yang memang sedia ada wujud, merupakan usaha-usaha untuk mengurus perbezaan pendapat yang ada, supaya pertembungan dan pertelingkahan besar dapat dielakkan.

Baik dewan perwakilan tertinggi mahupun JKKK, pemilihan ke jawatan-jawatan ini bukanlah untuk memerintah secara semberono mengejar agenda peribadi tetapi untuk mendengar, mencerna, dan memutuskan untuk keputusan sebaiknya.

Masyarakat secara keseluruhan perlu faham tujuan adanya proses-proses dan institusi ini supaya tujuan kewujudan mereka dapat dicapai dengan baik, termasuklah mengekalkan keamanan.

Ia tidak seharusnya disuruh menjadi medan zero-sum di mana golongan yang menang mengendahkan semua pandangan yang bertentangan, dan bertindak mengikut kata penyokong-penyokong.

Maklumlah, satu negara itu bukan sekadar sekelompok, selantang dan sebesar mana pun mereka.

Kehadiran golongan-golongan yang lain, termasuklah mereka yang berpegang kepada pandangan yang paling terkebelakang tidak boleh tidak mesti mendapat perhatian. Bukan hanya kepada ujaran mereka, tetapi juga kepada konteks budaya, sejarah, politik yang melahirkan pandangan-pandangan tersebut.

Maka, sistem politik negara mesti terus mendapat keyakinan seluruh lapisan masyarakat, dan tidak dilihat sebagai alat untuk menyondol kehendak majoriti pemilih semata-mata.

Ruang-ruang untuk berpartisipasi secara tulen dari tahap lokal hendaklah dipelihara, dan jika kurang ada, mestilah dicipta supaya orang tidak culas mengikut serta.

Debat yang akan terhasil dan topik-topik yang dibangkitkan barangkali tidak menepati citarasa golongan yang sudah menerima ‘pencerahan’, tetapi ia akan lebih mirip perbincangan-perbincangan yang mengambil tempat di kedai-kedai kopi kampung, dan pertemuan-pertemuan keluarga.

Paradigma reformasi negara harus elakkan dari melaksanakan perubahan semata-mata untuk perubahan, umpama keretapi ekspres yang terus ke stesen akhir tanpa henti-henti.

Sebaliknya jadilah bas yang prihatin kepada destinasi akhir penumpang. Ia tak semestinya menghantar terus ke tempat tujuan mereka, tetapi di dalam perjalanan, ia boleh turunkan mereka di hentian di dalam laluan yang menyenangkan mereka.